Air Kecil/Air Kencing

 

Apa ada pada air kencing?

Apa ada pada air kencing?

Apa ada pada air kencing? Banyak. Mungkin ramai tidak sedar air kencing boleh mendedahkan banyak perkara khususnya soal kesihatan dari pelbagai segi sama ada kekerapan buang air kecil, kuantiti, warna, bau dan kelajuan ketika ia keluar.

Pernahkah kita memberikan sedikit perhatian kepada perkara ini atau langsung tidak peduli? Cuba bayangkan, apa akan terjadi sekiranya kita tidak boleh buang air kecil. Jika sehari kita mungkin ‘ok’ lagi, tetapi bagaimana keadaannya jika berlanjutan selama tiga hing­ga empat hari?

Itu belum masuk bab kehilangan keupayaan menahan kencing sehingga berlaku kebocoran apabila bangun daripada duduk, bersenam, batuk, bersin mahupun ketawa. Masalah lemah kawalan pundi kencing yang banyak berlaku pada wanita ini bukan saja merumitkan kehidupan, malah turut memberi kesan psikologi sehingga ada yang hilang keyakinan pada diri sendiri.

Secara purata, kita buang air kecil enam hingga lapan kali sehari. Namun kekerapan buang air kecil juga tertakluk kepada jumlah dan jenis minuman diambil. Lebih banyak kita minum, lebih kerap kita berulang ke tandas.

Malah, individu yang banyak minum kopi atau mengambil ubat tertentu seperti ubat untuk tekanan darah tinggi juga kerap kencing kerana ia mempunyai sifat diuretik – yang membuatkan anda sukar untuk berjauhan dengan tandas.

Pundi kencing bertindak sebagai tempat menyimpan air kencing dan boleh mengembang untuk menampung 350 hingga 550 militer air kencing pada satu masa. Kita biasanya terasa hendak buang air kecil apabila kandungan pundi kencing lebih kurang 200 mililiter, tetapi kapasiti normal ialah sekitar 400 mililiter.

Kerap buang air kecil pada waktu siang adalah perkara baik kerana ini proses semula jadi untuk menyingkirkan sisa toksin dan bahan buangan daripada badan. Namun keadaan akan jadi tidak normal jika kita terpaksa bangun melebihi sekali pada waktu malam untuk buang air kecil.

Kekerapan, rasa terdesak dan berulang kali terpaksa bangun tengah malam adalah tanda penting yang menunjukkan seseorang itu ada masalah pundi kencing terlalu aktif. Bayangkan kesukaran yang akan kita alami jika ada masalah ini dan terpaksa berulang ke tandas melebihi lapan kali dalam tempoh 24 jam kerana desakan untuk buang air kecil tidak boleh ditangguh.

Bayangkan pula apa kesan­nya kepada kualiti hidup orang yang ada masalah ini. Kebanyakan pesakit mengambil pendekatan mengurung diri di rumah kerana sedar mereka tidak berupaya menahan kencing. Daripada terkencing dalam seluar dan memalukan diri sendiri, lebih baik mengasingkan diri di rumah.

Jika mahu membuat pemeriksaan kesihatan, kita akan diminta untuk menjalani dua ujian asas iaitu ujian darah dan air kencing. Ujian air kencing sudah digunakan sejak beratus-ratus tahun dulu sebagai satu cara memeriksa kesihatan kerana banyak bahan yang ‘berlegar’ dalam aliran darah termasuk bakteria, yis, berlebihan protein dan gula akan menamatkan perjalanan mereka dalam air kencing, kata Timbalan Pengerusi Jabatan Urologi Universiti Kansas, Dr Tomas Griebling.

Ujian

Secara umumnya ujian air kencing digunakan bagi mengukur atau mengesan beberapa elemen iaitu:

  • Kehadiran protein (albumin) yang menandakan penyakit atau kerosakan buah pinggang. Kehadiran protein menunjukkan buah pinggang seseorang itu menjalani proses kerosakan yang berterusan.
  • Kehadiran darah dalam air kencing. Ia memberi petanda seseorang itu mempunyai masalah batu karang, penyakit atau kanser buah pinggang atau kanser pada saluran kencing. Kadangkala penyelidik boleh mengesan kehadiran kristal dalam air kencing yang menandakan jenis batu karang dihidapi pesakit.
  • Seseorang itu mengalami jangkitan saluran kencing (UTI) berdasarkan kiraan sel darah merah dan nilai asid nitrik.
  • Air kencing juga digunakan untuk ujian kehamilan.

Menurut Pengarah Pusat Uroginekologi, Pusat Perubatan dan Kesihatan Wanita Weinberg di Baltimore, Dr Mark Ellerkmann, apabila anda hamil, janin akan mula menghasilkan hormon human chorionic gonadotropin (hCG) – yang dikesan oleh kit ujian kehamilan yang boleh dibeli di farmasi. Ketika hamil inilah air kencing mempunyai bau yang lebih kuat.

Biasanya ketika hamil, wanita akan lebih kerap buang air kecil. Sebabnya? Banyak. Antaranya ialah buah pinggang si ibu terpaksa bekerja lebih kuat untuk menyingkirkan bahan kumuh yang dihasilkan badan mereka sendiri dan bayi yang dikandung.

Apabila kandungan semakin besar, rahim juga akan mengembang dan menekan pundi kencing. Inilah sebabnya wanita hamil akan lebih kerap berulang ke tandas, tidak kira siang atau malam.

Sekiranya anda berusia 35 tahun ke atas, ada masalah haid yang teruk, pendarahan banyak dan kerap buang air kecil, ia mungkin ada kaitan dengan fibroid atau ketumbuhan benigna pada uterus yang menekan pundi kencing.

Terlalu kerap terkucil

Selain kekerapan buang air kecil, beberapa ciri lain seperti kuantiti, warna, bau dan kelajuan ketika ia keluar juga menjadi petanda penting dalam banyak diagnosis penyakit. Kekerapan ke tandas contohnya berbeza antara individu, ia boleh antara empat hingga 10 kali sehari selagi tidak mendatangkan masalah kepada individu berkenaan.

Namun ada beberapa perkara yang boleh menyebabkan anda kerap kencing walaupun kurang minum iaitu:

  • Pundi kencing terlalu aktif.

    Pundi kencing terlalu aktif ialah penyakit neurologi (sistem saraf) yang merendahkan kebolehan otak mengawal pundi kencing dan meningkatkan sensitiviti terhadap neurotransmiter pengecutan pundi kencing.

    Akibatnya, aktiviti pengecutan pundi kencing menjadi tidak normal dan terlalu cepat. Pada keadaan normal, seseorang buang air kecil lima hingga lapan kali sehari tetapi dalam kalangan pesakit, ada yang terpaksa berulang ke tandas sebanyak 20 kali sehari!

  • Jangkitan saluran kencing (UTI).

    Wanita lebih ramai mengalami jangkitan saluran kencing (UTI) berbanding lelaki. Ini kerana saluran kencing wanita lebih pendek daripada lelaki.

    Saluran kencing membabitkan beberapa organ iaitu buah pinggang, ureter (saluran yang membawa air kencing dari buah pinggang ke pundi kencing), pundi kencing dan uretra (saluran yang membawa air kencing keluar daripada pundi kencing apabila kita buang air kecil). Jangkitan boleh berlaku pada mana-mana bahagian saluran kencing ini.

    Dalam kebanyakan kes, UTI disebabkan jangkitan bakteria daripada najis yang boleh hidup di dalam saluran pencernaan, vagina dan sekitar uretra yang menjadi ‘pintu’ masuk ke dalam saluran kencing. Bakteria ini memasuki uretra dan bergerak ke pundi kencing dan buah pinggang.

    Biasanya badan kita melawan dan menyingkirkan bakteria ini. Dalam keadaan ini kita tidak mengalami sebarang gejala. Bagaimanapun, ada sesetengah orang terutama wanita lebih mudah mendapat jangkitan.

 

  • Interstitial sistitis (keadaan yang sebabkan dinding pundi kencing mengalami keradangan).
  • Kelenjar prostat membengkak (BPH) – Masalah ini khusus untuk lelaki, terutama yang berumur 50 tahun ke atas.

Walaupun kerap buang air kecil, tetapi masih rasa tidak puas. Segera dapatkan bantuan doktor jika pancutan air kencing anda mula menjadi perlahan, tersekat-sekat, meleleh atau menitis, sakit dan pedih setiap kali buang air kecil.

  • Penyakit neurologi (termasuk strok dan Parkinson).
  •  Kencing manis.

Warna

Warna air kencing juga boleh menjadi petanda penting apabila badan kita tidak cukup air

Warna air kencing juga boleh menjadi petanda penting apabila badan kita tidak cukup air

Pada masa sama, sesekali perhatikan juga warna dan bau air kencing kita. Air kencing mengandungi pigmen urokrom yang memberinya warna kuning. Warna ini berubah-ubah setiap hari daripada kuning gelap hing­galah kuning cair, bergantung kepada kepekatan air kencing kita.

Warna air kencing juga boleh menjadi petanda penting apabila badan kita tidak cukup air atau mengalami dehidrasi. Air kencing yang gelap biasanya menandakan badan kita kekurangan air.

Badan kita memerlukan air secukupnya setiap hari untuk membolehkan ia berfungsi dengan cekap. Jika badan kita cukup air, air kencing kita sepatutnya berwarna kuning cair, cerah, dikeluarkan dalam kuantiti yang agak banyak dan kurang berbau.

Apabila badan kekurangan air, ia akan cuba mengekalkan jumlah cecair dalam badan dengan mengurangkan penghasilan air kencing. Ini sebab­nya air kencing menjadi pekat, berwarna gelap, sedikit jumlahnya dan berbau kuat.

Adakalanya air kencing juga kelihatan seperti ada kilauan warna pelangi. Anda tidak perlu bimbang kerana sesetengah ubat boleh menukar warna air kencing menjadi sedikit hijau, biru atau jingga. Malah vitamin juga membuatkan air kencing menjadi lebih kuning.

Sesetengah makanan yang mempunyai pigmen gelap juga boleh mengubah warna air kencing. Makanan yang secara semula jadinya berwarna merah atau ungu boleh membuatkan air kencing kita berwarna sedikit merah jambu. Air kencing juga boleh menjadi jingga jika banyak mengambil makanan kaya karotin seperti lobak merah, keledek dan labu.

Bau

Air kencing kita memang ada bau tetapi biasanya ia tidak kuat. Jika air kencing anda mengeluarkan bau yang menusuk hidung, anda mungkin mengalami jangkitan atau ada masalah batu karang yang menyebabkan bau seperti gas ammonia.

Pesakit kencing manis mungkin mendapati air kencing mereka berbau ‘manis’ kerana kehadiran gula. Ini kerana badan tidak dapat memproses gula (glukos) dengan baik. Bagaimanapun, sesetengah makanan dan minuman juga boleh mengubah bau air kencing seperti asparagus dan kopi.

Masalah pembuangan air kencing boleh dielak dengan mengamalkan gaya hidup sihat, jaga pemakanan, rajin bersenam dan mempunyai tabiat ke tandas yang baik.

Selain itu faktor penting iaitu minum air secukup­nya tidak boleh diketepikan. Secara umumnya minumlah sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari walaupun tidak berasa dahaga. Jangan lupa bahawa sup, minuman manis, kandungan cecair dalam buah-buahan juga menyumbang kepada bekalan air kepada badan.

Pada peringkat awal, anda memang kerap ke tandas tetapi ia hanya untuk sementara waktu sehingga badan dapat menyesuaikan diri dengan peningkatan jumlah air yang anda minum.

Bagaimanapun, bagi anda yang ada masalah buah pinggang, dapatkan nasihat doktor mengenai jumlah air yang boleh diambil. Sebaliknya bagi individu yang mengalami batu karang atau gout, mereka perlu minum lebih banyak air untuk mengawal penyakit.

Jangan takut untuk minum banyak air kerana kajian menunjukkan ia boleh mengurangkan risiko 45 peratus kanser usus, kanser payu dara (79 peratus) dan kanser pundi kencing (50 peratus). Jadi jika ditanya apa ada pada air kencing, anda sudah tahu sebahagian daripada jawapannya.

Bagaimanapun, maklumat di atas hanyalah sebagai pengetahuan dan panduan. Sekiranya anda mengalami sebarang gejala, pergilah berjumpa doktor dan dapatkan penjelasan serta pemeriksaan.

Bersama-samalah kita berusaha menjaga kesihatan supaya boleh menikmati hidup yang lebih selesa dan sejahtera.

Ihsan dari hmetro

Speak Your Mind

*

CommentLuv badge

WP-SpamFree by Pole Position Marketing